PEMBANTU rumah yang diburu polis kerana melarikan wang tunai dan barangan kemas bernilai RM125,000. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


CAMPAK beg berisi barang kemas dan wang ringgit ke belakang rumah sebelum keluar dari pintu depan, itu taktik licik seorang pembantu rumah melarikan wang dan barang kemas milik majikannya.

Wanita warga Indonesia itu melarikan wang dan barang kemas yang keseluruhannya berjumlah RM125,000, dalam kejadian di Bandar Perda, Bukit Mertajam, 9 pagi semalam.

Majikan kepada pembantu rumah itu, lelaki berusia 33 tahun, hanya menyedari kejadian sebaik pulang ke rumahnya dari pasar di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan berkata, mangsa sebelum itu keluar bersama keluarganya keluar ke pasar untuk membeli barangan basah.

“Ketika keluar ke pasar pada 8.15 pagi , anak saudara dan bapa mangsa yang terlantar sakit berada di rumah bersama amah (pembantu rumah) berusia 31 tahun berkenaan.

“Sebaik pulang dari pasar pada jam 9 pagi, dia mendapati pembantu rumahnya tiada di rumah,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, sebaik membuat pemeriksaan dia mendapati kunci almari baju di bilik ibunya diumpil dan sebuah beg yang mengandungi barang kemas dan wang tunai hilang.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, suspek masih dalam tempoh percubaan dan tinggal bersama keluarganya di situ sejak tiga bulan lalu.

Katanya, sebaik pulang dari pasar dia dapati suspek tiada dan pemeriksaan di bilik ibu di tingkat bawah rumah mendapati almari di situ sudah diumpil.

“Beg berisi barang kemas milik ibu mangsa hilang dan sudah disimpan di situ sejak 10 tahun lalu.

“Suspek dipercayai membuang barang itu ke belakang rumah sebelum keluar melalui pintu depan berdasarkan dakwaan jiran mangsa yang ternampak suspek berlari keluar dari rumah,” katanya.

Menurutnya, jiran mangsa tidak mengesyaki suspek kerana tiada barang atau beg dibawanya ketika itu.

Katanya, suspek kemudian dipercayai pergi ke belakang rumah untuk mengambil beg yang dibuangnya sebelum melarikan diri.

“Usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 1:30 AM