Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


“SAYA harap apa yang berlaku kepada anak saya tidak berulang,” kata Azli Abdul Aziz, 40, bapa tiri kepada kanak-kanak lelaki yang cedera digigit anjing liar di Sekolah Agama Rakyat Haji Awaluddin, Telok Kemang, Port Dickson, semalam.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, Muhammad Adib Asyraf Amiruddin, 6, yang cedera di leher kanan, tangan dan paha kiri menerima rawatan di Hospital Port Dickson (HPD).

Pesara tentera itu berkata, ketika kejadian dia berada di rumah di Taman Politeknik selepas menghantar anaknya itu ke sekolah.

“Saya hantar anak saya ke sekolah agama pada waktu petang seperti biasa dan pulang ke rumah. Hanya beberapa minit, seorang guru hubungi saya memaklumkan anak cedera diserang anjing.

“Saya bergegas ke sekolah bagi melihat keadaannya. Keadaan anak saya ketika itu berlumuran darah lalu segera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di HPD hari ini.

Katanya, pada awalnya dia tidak mahu memberitahu kejadian itu kepada isteri, Azliza Abdul Aziz, 33, yang juga anggota tentera dan kini berada di Bandung, Indonesia kerana khuatir isterinya itu bimbang, namun selepas tular dia menceritakan kejadian sebenar.

Azli berkata, Muhammad Adib memberitahu anjing itu sering berada di kawasan sekolah dan tidak menyangka haiwan liar itu akan menyerangnya.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil iktibar kejadian ini dan bertindak menangkap anjing liar yang membahayakan orang ramai terutama kanak-kanak.

“Saya tidak mahu ada kanak-kanak lain pula jadi mangsa, cukuplah anak saya seorang menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada seorang guru sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

“Mangsa dipercayai diserang anjing ketika sedang menunggu kelas dibuka. Berdasarkan siasatan, anjing itu sering memasuki kawasan sekolah,” katanya.

Beliau berkata, polis memaklumkan kejadian kepada Bahagian Penguat Kuasa Majlis Daerah Port Dickson (MPPD) untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Kanak-kanak cedera digigit anjing liar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 3:44 PM