SUSPEK menyamar EPS direman dua hari bantu siasatan.
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


MENYAMAR sebagai Ejen Pemilikan Semula (EPS) dan menggunakan permit EPS palsu untuk menarik kereta.

Itu dilakukan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam penipuan tarik kereta di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, Lebuhraya Utara-Selantan di sini.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 26 tahun itu dikesan sepasukan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika pemantauan di RnR berkenaan, kelmarin.

Ketika pemeriksaan dijalankan, lelaki itu melarikan diri. Bagaimanapun suspek yang hadir ke pejabat KPDNHEP Negeri Sembilan di sini, semalam untuk mengambil permit yang dirampas ditahan sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, lelaki terbabit direman bermula semalam sehingga hari ini.

“Ketika pegawai KPDNHEP menjalankan tugas pemantauan berkaitan penipuan tarik kereta di RnR Seremban arah selatan pada jam 12.45 tengah hari, mereka melakukan pemeriksaan terhadap seorang lelaki yang memakai kad EPS pada lehernya.

“Pegawai KPDNHEP memperkenalkan diri dan meminta kad EPS berkenaan untuk pemeriksaan, namun ketika meneliti kad berkenaan, suspek melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, pegawai KPDNHEP membuat semakan dan mendapati permit EPS itu palsu.

“Bagaimanapun, pada jam 11 pagi semalam, suspek hadir ke pejabat KPDNHEP dan mahu meminta semula kadnya, namun ditahan kerana disyaki menggunakan kad EPS palsu.

“Suspek dibawa ke Balai Polis Seremban untuk tindakan selanjutnya. Suspek ditangkap semula untuk disiasat mengikut Seksyen 419/468, Kanun Keseksaan dan direman dua hari bermula hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:15 AM