BARANGAN yang dirampas daripada dua suspek.
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


DUA lelaki warga Indonesia ditahan sejurus selepas memecahkan cermin kereta di Jalan Pendekar 11, Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pada kejadian jam 8.20 malam, anggota Balai Polis TUTA yang melakukan rondaan cegah jenayah melihat dua suspek berjalan di kawasan parkir itu.

“Suspek memerhatikan sebuah kereta di parkir itu. Seorang daripada suspek berjalan ke bahagian kiri Honda Accord sambil menyuluh di dalam kereta itu sebelum mengetuk cermin sisinya.

“Kami menghampiri kedua-dua suspek dan memperkenalkan diri untuk melakukan pemeriksaan namun suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri,” katanya pada kenyataan semalam.

Menurut beliau, berlaku pergelutan dan suspek luka di kepala serta muka.

Pemeriksaan pada suspek berusia 21 dan 26 tahun itu menemui pemetik api serta lampu suluh.

“Pemeriksaan beg galas dibawa seorang daripada suspek menemui satu pasport, dua serpihan kecil batu seramik dan palam pencucuh yang digunakan untuk memecahkan cermin kereta.

“Kami menemui kunci bilik hotel dan tiga telefon bimbit,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:10 AM