Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh (dua kiri) menyampaikan hadiah Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada S. Eswaran (kanan) sempena sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2019M di Masjid Wilayah Persekutuan. Hadir sama ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (tiga kiri) dan Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Munir Md Salleh (kiri). FOTO SUPIAN AHMAD
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


“SEPANJANG terbabit dalam urusan istiadat rasmi negara, Istiadat Penghormatan Jenazah MH17 pada Ogos 2014 adalah paling terkesan di hati saya.

“Ketika itu, saya cuba mengawal kesedihan, namun air mata tiba-tiba mengalir sewaktu menerima keranda paling kecil milik mangsa tragedi pesawat MH17 yang dibawa turun dari pesawat,” kata S Eswaran.

Eswaran, 39, antara dua penerima Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2019M bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Majlis penganugerahan disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Eswaran yang juga Penolong Jurutera Kanan, Bahagian Istiadat, Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, dia pernah terbabit dalam pelbagai istiadat dan acara rasmi kerajaan, namun Istiadat Penghormatan Jenazah MH17 adalah program paling diingati.

“Ketika majlis raptai sehari sebelum istiadat, keranda kecil turut digunakan dan ketika itu saya tidak rasa apa-apa. Namun apabila tiba hari sebenar, tiba-tiba air mata saya mengalir ketika menyambut keranda kecil berkenaan.

“Saya cuba kawal perasaan sedih di hadapan kenamaan, namun gagal membendung perasaan itu,” katanya ketika menceritakan detik menyambut ketibaan jenazah mangsa MH17 pada 22 Ogos 2014 lalu.

Eswaran yang juga anak kelahiran Banting, Selangor turut terbabit dalam pelbagai program istiadat membabitkan Istana Negara dan Yang di-Pertuan Agong termasuk istiadat pengebumian di Makam Diraja.

“Saya terbabit dalam urusan bina pentas, mengorek makam sehingga membuat batu pusara,” katanya yang 15 tahun berkhidmat dalam JKR.

“Terima kasih kepada semua pihak termasuk jawatan kuasa pemilihan tokoh Maulidur Rasul yang memilih saya sebagai penerima anugerah ini,” katanya.

Katanya, dia terpilih mungkin kerana pernah terbabit pelbagai istiadat dan acara rasmi negara.

Eswaran berkata, antara tugas paling mencabar adalah menguruskan persiapan bagi menyambut ketibaan bekas Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama ke Malaysia pada 2014.

Selain Eswaran, seorang lagi penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Nik Salida seorang Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi sesi 2019 hingga 2022 berkuat kuasa 27 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:00 AM