Petugas SPR Cik Sri Zanita Johari melakukan persiapan akhir di Pusat Mengundi untuk PRK Parlimen Tanjung Piai di Sekolah Kebangsaan Seri Bunian, Pontian hari ini. Foto Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


DENDA RM5,000 atau penjara setahun boleh dikenakan terhadap majikan yang didapati tidak memberi pelepasan keluar mengundi kepada pekerjanya yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, hukuman itu diperuntukkan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR ingin mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih keluar mengundi pada PRK Parlimen Tanjung Piai esok.

“Mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan di Pontian hari ini.

Menurutnya, sebanyak 27 Pusat Mengundi dan 125 saluran akan dibuka esok untuk mengundi dengan 1,019 petugas sepanjang proses pengundian esok.

Katanya, seramai 52,471 orang pengundi bakal mengundi di PRK Parlimen Tanjung Piai.

“SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

“Pengundi dinasihatkan keluar awal dan jangan menunggu sehingga saat akhir,” katanya.

Menurutnya, SPR sudah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian yang akan dijalankan esok.

Semakan itu, katanya, bagi memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian lengkap dan dalam keadaan baik.

“Peralatan ini diagihkan kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi.

“Bagi pengundi yang sudah menerima kad pengundi atau yang mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR.

“Pengundi yang tidak menerima kad terbabit atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disarankan menyemak lebih awal sebelum hari mengundi,” katanya.

Menurutnya, semakan boleh dibuat melalui saluran-saluran berikut iaitu semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; Aplikasi MySPR Semak; Hotline SPR di talian 03-8892 7018; atau SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNO. KAD PENGENALAN.

“Bagi pengundi yang baru membuat semakan, mereka disarankan mencatat dan menyimpan maklumat berikut seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

“Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Kad pengundi dan catatan maklumat pengundian akan memudahkan KP1 membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses membuang undi,” katanya.

Menurutnya, pengundi juga dinasihatkan tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 8:55 PM