Pengarah JBPM Terengganu Mohamad Shoki Hamzah (tiga kiri) melihat persediaan pasukan penyelamat berkenaan bagi menghadapi banjir di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu baru-baru ini. Foto Imran Makhzan
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengkaji untuk mengamalkan kaedah sama seperti di Pantai Timur terutama Terengganu yang melarang sebarang aktiviti air di kawasan berisiko ketika musim tengkujuh.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, langkah berkenaan adalah usaha mengelak kejadian lemas selain memastikan aktiviti air boleh dikawal ketika musim tengkujuh.

Menurutnya, pada masa kini terdapat 15 kawasan berisiko tinggi kejadian lemas di seluruh negara manakala 39 kawasan lagi dikategorikan sebagai kawasan berisiko rendah.

“Justeru, kita rangka satu kaedah baharu untuk pastikan aktiviti air boleh dikawal dan dihentikan ketika tempoh tertentu seperti diamalkan di Terengganu yang mana apabila tiba waktu tengkujuh, mereka hentikan aktiviti ke pulau.

“Kemungkinan kaedah sama juga kita akan amalkan di kawasan yang kita percaya berisiko tinggi. Kita mungkin lihat apabila musim tengkujuh, kita tidak galakkan orang ramai melakukan aktiviti rekreasi dan berkelah, jadi kaedah ini sedang dikaji,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian di majlis Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Amer Yusof di Putrajaya.

Mohammad Hamdan berkata, selain larangan aktiviti air pada musim tengkujuh dan meletakkan bendera merah di kawasan berisiko, kaedah lain yang akan dikaji termasuk melantik penduduk tempatan bagi melarang pengunjung ke tempat berbahaya.

“Bomba tidak boleh berada di sana 24 jam jadi kemungkinan kita akan melantik penduduk di tempat itu menjadi seorang daripada ejen bomba yang kita perturunkan kuasa untuk menahan mana-mana pihak atau pengunjung yang mahu ke kawasan berbahaya.

“Jika tidak, kita tidak tahu apa yang berlaku apabila dia masuk ke tempat berkenaan.

“Jadi kita mungkin akan lihat kaedah macam mana pelantikan orang terbabit dan kuasa macam mana diberi kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, mereka yang dilantik itu boleh menjadi mata dan telinga kepada bomba bagi mengelak berlakunya tragedi lemas membabitkan orang awam.

Terdahulu, Amer diraikan sempena persaraannya yang berkuatkuasa esok selepas berkhidmat selama 34 tahun bersama JBPM.

Beliau menyertai JBPM pada 1 Oktober 1985 dan pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam pasukan penyelamat itu antaranya Pengarah JBPM Selangor, Perak, Pahang, Kedah, Perlis dan Johor.

Pada 1 November 2010, beliau dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) sebelum memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) bermula 12 September 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 8:23 PM