FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


REMAJA perempuan mendakwa menjadi mangsa cabul sepupunya dalam kejadian di Dungun, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4 petang ketika mangsa berusia 18 tahun pergi ke rumah ibu saudaranya menaiki motosikal untuk menghantar duit, namun wanita terbabit tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa memaklumkan dihampiri suspek yang bertindak mematikan enjin motosikal dan merampas kunci kenderaan itu.

“Suspek duduk di belakang motosikal remaja itu dan bertindak mencabul mangsa.

“Selain itu, suspek didakwa menarik mangsa ke atas rumput dan bertindak menutup mulut remaja itu.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri dan suspek memberikan semula kunci motosikal sebelum mangsa beredar dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharudin berkata, mangsa memaklumkan duit itu adalah upah kepada suspek yang membaiki telefon miliknya.

Katanya, hasil siasatan awal mangsa memaklumkan tidak mempunyai masalah dengan suspek dan sepupunya itu tidak pernah melakukan kejadian seperti itu sebelum ini.

“Suspek berusia 19 tahun kini direman selama empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 1:50 PM