ANAK tapir seberat lapan kilogram yang baru dilahirkan. FOTO PERHILITAN
Mohd Jamilul Anbia Md Deni
am@hmetro.com.my


PELUANG terbuka kepada orang ramai untuk memberikan nama istimewa kepada seekor anak tapir jantan yang baru dilahirkan di dalam kurungan.

Bayi tapir seberat lapan kilogram itu dilahirkan dalam keadaan sihat di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor.

Jurucakap PERHILITAN Semenanjung Malaysia berkata, anak tapir itu disahkan dilahirkan pada 8.30 pagi semalam di pusat konservasi diuruskan pegawai dan kakitangan PERHILITAN.

Menurutnya, bayi tapir itu adalah hasil persenyawaan seekor tapir betina bernama Bera dan seekor tapir jantan bernama Gadek.

"Hasil pemerhatian selepas dilahirkan dalam tempoh 24 jam mendapati bayi tapir itu didapati dalam keadaan sihat, ceria dan aktif.

“Kakitangan PERHILITAN sebelum ini mengesahkan kandungan tapir bernama Bera berusia antara sembilan hingga 10 bulan kelmarin.

"Berikutan bayi tapir ini masih belum diberikan nama, kami memberi peluang masyarakat untuk memilih nama sesuai dan menarik untuk tapir jantan ini," katanya.

Menurutnya, idea nama tapir jantan itu boleh diberikan melalui laman Facebook Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia.

Spesis tapir atau Tenuk Malaysia (Tapirus indicus) ini adalah spesis tapir terbesar di dunia.

Musim mengawan tapir berlaku pada bulan April hingga Jun.

Tempoh kehamilan Tapir Malaysia ialah kira-kira 390 hingga 403 hari yang mana anak pertamanya mempunyai berat sekitar 6.8 kg.

Kebiasaannya tapir betina akan melahirkan anaknya dengan purata dua tahun sekali.

Ketika muda, tapir ini tinggal bersama ibunya selama 6 hingga 8 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 1:09 PM