GAMBAR hiasan
BERNAMA

RAKYAT Malaysia perlu lebih berhemah dalam penggunaan tenaga dan sumber asli, khususnya air, supaya sama-sama dapat membantu usaha pemuliharaan alam sekitar negara.

Pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Malaysia 2019 baru-baru ini, penggunaan domestik air rakyat Malaysia dilaporkan purata 210 liter per kapita sehari.

Ia jelas melangkaui jumlah yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu 50 hingga 100 liter per kapita sehari.

Timbalan Ketua Setiausaha (Makro), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Zakiah Jaafar dalam ucap utamanya menyifatkan rakyat Malaysia sebagai terlalu membazir dan tabiat buruk itu menyekat usaha menangani isu berkaitan alam sekitar.

Antara isu yang beliau bangkitkan termasuk pengecilan kawasan hutan untuk membentuk kawasan tadahan air, pencemaran sungai akibat bahan kimia dan sisa air yang tidak dirawat dengan baik, di samping bilangan haiwan liar terancam seperti Harimau Malaya yang semakin berkurangan.

Menurut Zakiah, inisiatif polisi pada masa hadapan perlu meliputi pelbagai aspek lain, termasuk menentukan harga bagi sumber asli dan tenaga iaitu pada nilai yang menonjolkan kepentingannya.

“Untuk menangani cabaran persekitaran ini, kerajaan, industri dan masyarakat madani, perlu sentiasa bermuhasabah dalam menilai cara kita hidup, bekerja, menghasilkan produk dan cara kita menggunakannya.

“Transformasi ini memerlukan kita untuk fokus semula kepada tindak-tanduk kita dan kesan ke atas penyebab perubahan iklim; dan memerlukan satu pendekatan yang menghubungkan semua sektor dengan idea atau matlamat yang sama.

“Ini perlu disokong oleh mekanisme pentadbiran yang baik serta komitmen politik peringkat tertinggi, yang disesuaikan dengan keperluan kita,” katanya pada sesi pleno Mengimbangi Pertumbuhan Ekonomi dengan Kelestarian Alam Sekitar.

Menurut Zakiah, berikutan kebimbangan berterusan pada isu alam sekitar, kerajaan akan memberi penekanan yang sama dalam merangka polisi yang membabitkan tiga dimensi pembangunan iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar pada Rancangan Malaysia ke-12 akan datang.

“Keperluan untuk mewujudkan rangka kerja yang mengimbangi pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar semakin kritikal bagi membolehkan polisi yang baik dapat dihasilkan, ” katanya.

Pada sesi perbincangan yang sama, Naib Pengerusi Kumpulan Kerja II Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Prof Dr Joy Jacqueline Pereira memberi amaran bahawa Malaysia sebagai negara rantau tropika Asia Tenggara, perlu mempersiapkan diri untuk berdepan dengan impak perubahan iklim terhadap ekonominya.

Dalam pembentangannya, beliau mendedahkan pembangunan ekonomi di kawasan tropika Asia Tenggara dijangka mengalami impak terbesar, sekiranya dunia mengalami peningkatan suhu 1.5 darjah Celcius antara 2030 hingga 2052.

Menurut Pereira, pemanasan global 1.5 darjah Celcius sebenarnya kenaikan paling rendah suhu yang diramalkan para saintis dan dunia perlu memastikan ia tidak melebihi daripada kenaikan itu.

Antara kesannya adalah kurang cuaca melampau, kesan rendah ke atas bio-diversiti, risiko rendah ke atas hasil pertanian dan hanya 15 peratus kekurangan air.

“Kita akan melihat paras air laut akan terus meningkat, tetapi kurang daripada 10 juta penduduk dunia akan terdedah kepada kesan ini, ” katanya.

Beliau menekankan, untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 peratus, banyak perubahan perlu dilakukan termasuk pengurangan besar-besaran pengeluaran gas rumah hijau dalam semua sektor, penggunaan lebih banyak teknologi mesra alam, perubahan sikap, selain meningkatkan pelaburan dalam memilih kaedah atau teknologi yang lebih rendah pengeluaran karbon.

Beliau turut menyatakan negara Asean perlu mengambil tindakan memandangkan rantau itu sebahagian daripada Asia Tenggara.

“Setiap peningkatan suhu adalah penting. Jika setiap tahun kita berlengah, ia akan menambah kesan kepada perkembangan ekonomi dan impak lain memandangkan rantau tropika ini adalah sebahagian daripada dunia, ” katanya.

Sidang kemuncak dua hari yang bertemakan ‘Mempercepat Kemajuan SDG: Pendekatan Seluruh Negara’ itu, antara lain menyumbang idea serta strategi ke arah pencapaian Agenda 2030 untuk pembangunan lestari serta memperkasakan perkongsian melalui pendekatan seluruh negara dalam mencapai SDG.

–BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 11:55 AM