A Asmadi menunjukkan pelan tapak program MRTM Deepavali 2019 di Ipoh. FOTO Effendy Rashid
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


SERAMAI 857 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan untuk menjaga kelancaran dan keselamatan sepanjang Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2019 di Dataran Bandaraya Ipoh esok.

MRTM Deepavali 2019 akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dijangka lebih 10,000 pengunjung memeriahkan majlis itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya dibantu 150 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan lain-lain.

“Penugasan pegawai dan anggota polis bagi majlis itu sudah bermula hari ini membabitkan pemantauan persiapan sambutan berkenaan dan kawalan akan dipertingkatkan sepanjang majlis berlangsung dari 8 malam hingga 12 tengah malam esok.

“Kawalan adalah membabitkan kelancaran trafik serta keselamatan pengunjung dan orang kenamaan yang hadir pada majlis itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

Menurutnya, beberapa jalan akan ditutup mulai hari ini dan esok iaitu Jalan Persiaran MBI (di hadapan bangunan MBI) ditutup bermula 6 petang hari ini hingga 11 malam esok.

“Jalan Sultan Abdul Jalil dan Jalan Dato Seri Ahmad Said pula ditutup bermula 6 petang hingga 11 malam esok.

“Pengunjung boleh meletak kenderaan di beberapa kawasan antaranya di tempat letak kereta Pusat Perniagaan Greentown; kawasan parkir tepi Jalan Dato Seri Ahmad Said; parkir Pusat Perniagaan Greentown Square serta beberapa kawasan lain,” katanya.

A Asmadi mengingatkan orang ramai mematuhi arahan petugas keselamatan dan tidak meninggalkan barangan berharga dalam kenderaan serta berwaspada dengan penyeluk saku selain tidak menimbulkan masalah.

“Sambutan MRTM Deepavali 2019 ini tiada pertunjukan bunga api dan penggunaan dron adalah dilarang, jika dikesan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Penerbangan Awam 1969,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 11:51 AM