MOHAMAD Razman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kulim atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Gunung Inas.
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my

AHLI perniagaan yang juga kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kulim semalam, atas tiga pertuduhan menceroboh dan meneroka sebahagian Kompartmen 19 Hutan Simpan Gunung Inas September lalu.

Tertuduh, Mohamad
Raman Shariff, 43, meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menjalankan aktiviti pembinaan struktur bangunan iaitu sebuah rumah banglo, binaan bangunan batu-bata yang belum siap, kandang burung unta, bangsal rusa dan sangkar landak dalam Kompartmen 19, Hutan Simpan Gunung Inas tanpa permit penggunaan yang sah.

Tertuduh turut didakwa melakukan aktiviti penanaman pokok buah dan memelihara haiwan sebanyak 36 rusa, tiga burung unta serta tujuh landak dalam kawasan sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menebang 111 batang pokok dari kawasan kompartmen sama seperti pertuduhan pertama tanpa kebenaran yang sah.

Tertuduh berdepan pertuduhan kedua pilihan yang mana tertuduh didakwa membersihkan tanah dalam hutan simpanan kekal dengan niat mengusahakan tanah itu untuk dijadikan kawasan peliharaan haiwan dan penanaman pokok buah dalam kompartmen berkenaan tanpa kebenaran sah.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapati melepaskan ternakan iaitu empat kuda yang dibiarkan bergerak secara bebas dalam kawasan kompartmen berkenaan tanpa kebenaran sah.

Semua perbuatan dilakukan pada 19 September 2019 sekitar jam 4 petang. Justeru, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 32(1), Seksyen 81(1)(a) dan Seksyen 81(1)(e) Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 (Akta 313) kerana pendudukan atau menjalankan aktiviti, melepaskan haiwan ternakan dan membersih dan membajak tanah di atas Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran sah.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Fazilah Mansor dan Mason Jaro Lenya Barayan manakala tertuduh diwakili peguam, Johan Jaaffar.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan RM20,000 sebagai jaminan kepada tertuduh namun Johan mewakili anak guamnya meminta mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM10,000 kerana tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh dikurangkan kepada RM10,000 dan menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 6:05 AM