SARIH Mohd Zaini bersama anaknya, Sarih Mohamad Syazwan dan Syarifah Sazwina di Kampung Janglau 3.
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


KEMALANGAN yang meragut nyawa isteri serta anak bongsunya Julai lalu bagaikan merentap semangat Sarih Mohd Zaini Sarih Ahmad, 47.

Namun mengenangkan dua lagi anaknya yang masih memerlukan dirinya, dia terpaksa menguatkan hati dan mengutip sisa semangat yang ada untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan anak sulungnya, Syarifah Sazwina, 9, dan anak keduanya Sarih Mohamad Syazwan, 5, parah dan cacat seumur hidup.

“Kaki kanan Sarih Mohamad Syazwan terpaksa dipotong pada paras bawah lutut sementara kaki kanan kakaknya pula hancur, selain bahu kanan mereka berdua juga patah.

“Lebih memilukan, saya tidak berpeluang menghantar jenazah arwah isteri dan anak bongsu ke kubur kerana terpaksa menjaga dua anak yang ketika itu dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dalam keadaan koma,” katanya di sini, kelmarin.

Katanya, dia terpaksa ‘berkampung’ di HTAA selama 44 hari bagi menemani kedua-dua anaknya hingga keadaan mereka bertambah baik dan dibenarkan pulang.

Dalam kejadian 6 Julai lalu, isterinya, Fazrina Yusof, 37, dan anak bongsunya, Sofia Mikyla, 18 bulan maut selepas motosikal yang dinaiki empat beranak itu dirempuh pacuan empat roda ketika dalam perjalanan ke bandar Rompin untuk membeli barang.

Fazrina disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada hari kejadian manakala Sofia Mikyla menghembuskan nafas terakhir dua hari selepas itu ketika menerima rawatan di HTAA.

Dia yang menetap di Kampung Janglau 3, di sini, berkata, hanya Allah yang tahu perasaannya apabila kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata dan melihat dua lagi anaknya yang tidak sempurna seperti dahulu.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan yakin pasti ada hikmah di sebalik kejadian berkenaan, saya perlu menghadapinya dengan hati terbuka.

“Saya perlu menjadi kuat demi kedua-dua anak dan tidak mahu mereka berasa tertekan...pastinya mereka memerlukan sokongan saya selepas kehilangan ibu tersayang dan berubah menjadi cacat,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai juruelektrik berkata, dia kini perlu menghantar anak perempuannya ke klinik kesihatan Tanjung Gemok di sini, setiap hari bagi menjalani proses mencuci luka dan besi di kaki kanan bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 6:00 AM