FERI terakhir dari Terminal Feri Kuala Kedah dijadualkan pada 7 malam ditunda ke 9 malam berikutan fenomena air surut. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


JADUAL perjalanan bagi 1,050 penumpang feri dari Terminal Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi pada 7 malam terpaksa ditunda pada 9 malam ini berikutan air cetek.

Pengurus Sumber Manusia & Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Bahrin Baharom berkata, jumlah penumpang itu membabitkan 131 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi, 353 penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi dan 222 penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah.

Beliau berkata, penumpang dari Langkawi ke Kuala Perlis pula membabitkan seramai 344 orang.

“Paras air cetek sehingga mencecah bawah 0.1 meter boleh membahayakan keselamatan penumpang dan mengakibatkan feri tersangkut.

“Perjalanan malam ini dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis beroperasi serentak pada 9 malam manakala dari Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis pada 8 malam,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Bahrin berkata, fenomena air surut ini dijangka akan berterusan sehingga 1 Disember depan dan jadual perjalanan akan sentiasa berubah mengikut keadaan.

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan perjalanan feri di tiga lokasi berkenaan melalui laman sosial Facebook Ferryline Ventures atau datang ke kaunter terminal.

“Tiga trip perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi dibatalkan esok dan jadual feri hanya akan bermula 10 pagi.

“Ini disebabkan paras air laut pada waktu itu di bawah satu meter dan tidak sesuai untuk feri beroperasi,” katanya.

Bahrin berkata, bagi perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi pula, jadual perjalanan akan bermula 6.30 pagi esok ketika paras air laut dijangka 1.3 meter.

Bagaimanapun, katanya, paras air dijangka surut mencecah bawah 0.9 meter pada 7 pagi menyebabkan tiga trip perjalanan pada 7 pagi, 8.30 pagi dan 9.30 pagi dibatalkan.

“Trip perjalanan dari Kuala Perlis ke Kuala Perlis hanya akan beroperasi semula pada 10.30 pagi sehingga 7 malam.

“Perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis pula akan bermula 8.30 pagi sehingga 6 petang, namun perjalanan 7 malam dibatalkan dan beroperasi semula 8 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 10:25 PM