PAUL Yong (kanan) hadir untuk perbicaraan kes rogol pembantu rumah Indonesia di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. FOTO Abdullah Yusof.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


MAHKAMAH Sesyen di Ipoh, hari ini membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan kes rogol membabitkan EXCO Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas pasukan pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh memohon penangguhan untuk membolehkan mereka memfailkan permohonan mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Ia bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi disebabkan banyak isu perundangan timbul terutamanya membabitkan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Perkara itu dimaklumkan Rajpal yang ditemui selepas selesai prosiding dan memberitahu pihaknya akan memfailkan permohonan terbabit secepat mungkin.

“Kami akan menunggu tarikh yang akan ditetapkan Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan kami, perbicaraan yang dijadualkan sebelum ini tidak akan dijalankan,” katanya.

Rajpal berkata, pelbagai isu undang-undang timbul membabitkan Akta Perlindungan Saksi 2009 dan terkejut apabila pihak pendakwaan mahu mengguna pakai akta itu bukan sahaja terhadap saksi pertama iaitu mangsa tetapi juga untuk saksi kedua.

Menurutnya, pihaknya membantah permohonan pendakwaan untuk mengguna pakai akta itu bagi saksi kedua dan memutuskan untuk memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi.

Norashima menetapkan 5 Disember sebagai tarikh pengurusan kes.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar.

Azhar ketika ditemui berkata, pihaknya membantah permohonan pembelaan itu kerana ia akan melewatkan lagi proses perbicaraan dan keputusan kes berkenaan.

Katanya, pihaknya pula memohon mahkamah untuk meneruskan perbicaraan seperti biasa sementara menunggu permohonan di Mahkamah Tinggi namun Norashima memutuskan penangguhan itu.

Paul Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh didakwa merogol mangsa berusia 23 tahun antara 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019 di sebuah bilik rumah di Meru Desa Park, Meru Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 8:51 PM