WAKIL Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Md Abul Fadie Maidin (kiri) bersama wakil UiTM, Prof Madya Ir Dr Ahmad Rashidy Razali (dua dari kiri), Ahmad Zawawi (tiga dari kiri), wakil Sekolah Tinggi Ekonomi dan Bisnis Islam (STEBI), Prof Dr Tulus Suryanto (tiga dari kanan), wakil Pattani University, Prof Dr Sukree Langputeh (dua dari kanan) bersama wakil Mindanao State University, Prof Dr Anwar M Radiamoda (kanan) bergambar selepas majlis menandatangani NoU. FOTO Rosli Ahmad
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


KOLEJ Vokasional (KV) Butterworth menandatangani nota persefahaman (NoU) bersama sebuah universiti tempatan dan empat universiti luar negara, hari ini.

Majlis NoU itu ditandatangani Pengarah KV Butterworth, Ahmad Zawawi Mohd Ali bersama wakil daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, Pattani University, Mindanao State University, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei dan Sekolah Tinggi Ekonomi dan Bisnes Islam, Lampung, Indonesia.

Ahmad Zawawi berkata, antara yang ditekankan dalam NoU itu ialah menjalin kerjasama bagi meningkatkan kecemerlangan institusi termasuk kemenjadian pelajar dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.

Menurutnya, selain tiga bidang itu, ia juga meningkatkan lagi keberkesanan pengurusan dan pentadbiran institusi.

“Kita juga akan saling bertukar idea, pengalaman, kreativiti dan inovasi dalam pelbagai bidang antara satu sama lain.

“Selain itu, kerjasama antara semua universiti ini juga akan dapat meningkatkan lagi kecekapan, kemahiran dan produktiviti warga institusi,” katanya yang ditemui pada Persidangan Antarabangsa Kepimpinan Kampus 2019, hari ini.

Menurutnya, kerjasama antara lima universiti ini dilakukan kerana semuanya menawarkan bidang teknologi kejuruteraan dan juga perniagaan.

“KV Butterworth sendiri menawarkan tiga pengajian dalam bidang teknologi kejuruteraan dan dua perniagaan.

“Jadi dengan kolaborasi ini, ia memudahkan lagi kita untuk membuka peluang kepada pelajar di KV ini menyambung pengajian mereka,” katanya.

Beliau berkata, selain itu juga program pertukaran pensyarah atau tenaga pengajar dapat dilakukan bagi sama-sama berkongsi maklumat dan idea untuk meningkatkan lagi tahap keupayaan ketika pembelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 7:56 PM
Skip this ad x