Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


“ITU (laporan) satu andaian...kalau kita bekerja bersama-sama untuk pastikan suhu tidak meningkat, kita boleh katakan kawasan-kawasan (bandar) ini selamat,” kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Dr Xavier berkata demikian ketika menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-DAP Jelutong) yang menyatakan kebimbangannya mengenai laporan oleh pusat penyelidikan swasta dengan mendakwa beberapa bandar utama di Malaysia bakal ‘lenyap’ atau tenggelam menjelang 2050.

Beberapa hari lalu, Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) mendedahkan bahawa bandar utama di lapan negeri bakal tenggelam kerana akan berada di bawah paras laut menjelang 2050.

Dr Xavier berkata, semua pihak perlu memahami bahawa dunia kini berhadapan dengan perubahan iklim termasuk Malaysia sehingga menyebabkan peningkatan paras laut.

“Jawapan saya mudah sahaja...kita kena pastikan bahawa semua pihak perlu bekerjasama dengan kementerian dan agensi selaras Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030) yang dilancarkan kerajaan sebelum ini.

“Sebagai Yang Berhormat (YB), kita kena adakan program dalam kawasan masing-masing untuk tentukan matlamat agenda SDG 2030 akan dapat dicapai pada 2030.

“Jika semua pihak dapat bekerjasama dan memastikan peningkatan suhu tidak naik lebih daripada 1.5 darjah Celsius atau tidak mencecah 5 darjah Celsius, kita boleh katakan kawasan ini selamat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Cent-GPS mendedahkan laporan bahawa beberapa bandar utama di Malaysia akan tenggelam susulan kajian terbaru dikongsi Elevation Data Triple Estimates of Global Vulnerability to Sea-Level Rise and Coastal Flooding terbitan Nature Communications.

Menurut laporan itu, antara negeri yang terjejas itu ialah Perlis, Kedah, Penang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Kajian juga mendedahkan Alor Setar akan menjadi sebuah pulau, sepanjang kawasan Parit Buntar hingga ke Taiping tidak kelihatan, Lebuhraya Utara-Selatan dan Pelabuhan Klang tenggelam, Bagan Datoh, Teluk Intan dan Kuala Selangor lenyap.

Selain itu, kajian terbabit mendapati Shah Alam akan mengecil, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan berada di sebelah pantai, Muar dan Pekan juga tenggelam, Kuala Terengganu dan Kuching mengecil dan menjadi beberapa buah pulau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 7:26 PM