GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


MEKANIK kerugian RM55,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam di Kuala Terengganu kelmarin.

Kejadian bermula apabila lelaki berusia 34 tahun itu menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah.

Menurut sumber, lelaki terbabit memaklumkan mangsa ada tunggakan bayaran hasil berjumlah RM17,000 namun mangsa menafikan sebelum panggilannya disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Katanya, panggilan itu dijawab lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan.

“Lelaki itu meminta nombor kad pengenalan mangsa kononnya untuk semakan lanjut dan memaklumkan mangsa ada terbabit dalam jenayah penggubahan wang haram.

“Mangsa kemudian diminta menyerahkan nombor pin perbankan atas talian dengan alasan untuk mengemas kini akaun bank bagi tujuan siasatan.

“Lelaki terbabit turut mengugut akan menangkap mangsa jika tidak memberi kerjasama menyebabkan mangsa akur dengan arahan diberikan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada isterinya sebelum wanita terbabit memaklumkan suaminya menjadi mangsa penipuan.

Katanya, mangsa yang terkejut segera membuat semakan bank sebelum mendapati wang simpanan RM55,000 sudah dikeluarkan membabitkan10 transaksi yang dilakukan pada hari sama.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis pada hari sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 5:32 PM