Program akikah yang diadakan EZ Qurban di Jawab Barat, Indonesia sebelum ini. Foto Ihsan EZ Qurban
Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my


SEJAK Ogos hingga kini, EZ Qurban Sdn Bhd sudah mengagihkan sebanyak 1,062 ekor kambing di Kenya, Kemboja, Indonesia dan Bangladesh melalui program akikah hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Pengurus Operasi EZ Qurban Sdn Bhd Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin berkata, program akikah dilakukan sepanjang tahun berdasarkan permintaan rakan atau saudara Muslim di negara terbabit.

“Seperti kebiasaannya, program ini (akikah) mensasarkan golongan asnaf, anak yatim, ibu tunggal dan juga fakir miskin.

“Rakan pengelola kita di negara terbabit akan melakukan permohonan berdasarkan keperluan.

“Wakil kita dari Malaysia akan turut dihantar bagi memantau program akikah yang dilaksanakan di negara itu.

“Ini amanah orang (rakyat Malaysia), jadi kita mahu ia disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Memperincikan agihan mengikut negara, Muhammad Hafeez berkata, pihaknya mengagihkan sebanyak 550 ekor kambing di Kenya, Bangladesh (254), Indonesia (256), dan Kemboja (2).

“Untuk program ini (akikah) wakil kita akan bersama penduduk untuk memasak kambing berkenaan sebelum mengadakan jamuan,” katanya sambil mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus memberi sokongan kepada program anjuran syarikat itu.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Pemasaran EZ Qurban Sdn Bhd Ahmad Fadzlullah Hasanuddin berkata, syarikat itu sudah melakukan sumbangan di 35 negara dan merancang untuk mengembangkan bantuan itu kepada Muslim di benua Amerika Latin dalam masa terdekat.

“Kita sedang mengusahakannya. Doakan usaha ini diberkati dan dipermudahkan Allah,” katanya yang turut berkongsi mengenai kejayaan syarikat itu menerima Anugerah Sirim QAS-ISO 9001: 2015 - Sistem Pengurusan Kualiti.

Ahmad berkata, menyedari bantuan juga perlu dihulurkan pihaknya kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, syarikat sudah menubuhkan Yayasan EZ Prihatin.

“Yayasan ini sudah diluluskan penubuhannya yang mana kita sasarkan untuk membantu golongan asnaf seperti ibu tunggal, anak yatim dan saudara baru di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 5:06 PM