MOHD Kamarudin pada sidang media, hari ini. FOTO Mohd Sabran Md Sani.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SEMUA bentuk kempen termasuklah rumah ke rumah bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai perlu ada permit Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikeluarkan menerusi Ketua Polis Daerah (KPD).

Untuk itu, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, tidak timbul isu pengecualian permit bagi lawatan rumah ke rumah kerana ia juga sebahagian daripada kempen.

“Setiap kempen kena (perlu) mendapatkan permit daripada PDRM yang dikeluarkan KPD, apa bentuk kempen sekali pun guna kenderaan, berceramah, kempen rumah ke rumah dan sebagainya, mesti mendapat permit.

“Kecuali jika tinjauan ke rumah itu atas tujuan ziarah biasa (bukan kempen) dan tidak timbul isu permit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, tidak timbul juga masalah untuk permit bagi setiap alamat lokasi kerana syarat ditetapkan itu, hanya untuk memastikan kempen berlangsung selamat.

“Sekurang-kurangnya kita tahu tempat dan masa dan tidak mahu berlaku insiden parti bertembung dan mengancam ketenteraman awam,” katanya yang memberitahu permit kempen dibuat selepas perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, penambahbaikan pengeluaran permit itu tertakluk undang-undang pilihan raya mengikut Seksyen 24 B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kita berbincang dengan SPR berhubung perkara ini selepas meneliti isu yang berlaku dalam tempoh kempen minggu lalu dan mahu melakukan beberapa penambahbaikan,” katanya.

Selain itu, katanya, proses permohonan permit mudah dengan agen atau calon perlu mengisi 12 perkara penting termasuk nama, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nombor pendaftaran kenderaan dan alamat.

Ketika ini katanya, 562 permit kempen politik sudah dikeluarkan pihaknya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 4:58 PM