Rubiah (dari kanan) bersama Saadiah Sin, 58, dan Noor Hasniza Abd Rahim, 48, membaca risalah mengenai wabak chikungunya di kedai makan Rubiah di Taman Tapah. FOTO Effendy Rashid
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


“SUDAH sebulan saya sakit sendi dan saya yakin ia berpunca demam chikungunya,” kata Abdul Rani Mohddin, 61, penduduk Taman Tapah Baru, Tapah yang menjadi satu daripada kawasan dilanda wabak itu.

Menurutnya, sebelum mengalami sakit sendi, dia demam tiga hari dan kini rasa sakit sendi itu masih ada walaupun sudah sebulan.

Abdul Rani berkata, isterinya serta dua cucu dan seorang anak yang tinggal bersama juga mengalami simptom sama malah isterinya paling teruk apabila sakit kedua-dua lutut hingga sukar bangun dan berjalan.

“Susulan wabak yang melanda kawasan taman kediaman kami, pihak berkuasa sudah beberapa kali datang untuk membuat semburan nyamuk aedes.

“Penduduk berharap wabak ini dapat dibendung daripada terus merebak ke kawasan lain,” katanya ditemui di sini hari ini.

Penduduk lain, Rubiah Abdul Hamid, 55, berkata, dia kini mengalami sakit pinggang teruk selain merasa sakit badan.

“Saya mula demam Khamis minggu lalu dan baru pulih Sabtu selepas saya mendapatkan rawatan di klinik.

“Kini demam sudah baik namun masih mengalami sakit pinggang.

“Disebabkan keadaan itu saya tidak dapat berniaga empat hari dan hari ini baru dapat buka kedai,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Taman Tapah hari ini.

Menurutnya, beberapa pekerjanya juga mengalami demam dan simptom sama baru-baru ini serta percaya ia disebabkan penularan wabak itu yang melanda daerah Batang Padang ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 4:11 PM