PEMBEDAHAN pertama untuk memasang alat pendengaran terhadap Muhammad Ikhsan Abdul Hadi berusia 11 bulan yang lahir tanpa telinga dan tulang belakang bengkok pada 31 Oktober lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) terpaksa ditangguhkan berikutan masalah berat badan turun. FOTOI hsan Siti Hafsah Che Mah
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


PEMBEDAHAN pertama terhadap bayi lelaki berusia 11 bulan tanpa telinga dan tulang belakang bengkok pada 31 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan berikutan masalah berat badan.

Ibunya, Siti Hafsah Che Mah, 40, berkata, pembedahan untuk memasang alat bantuan pendengaran di telinga Muhammad Ikhsan Abdul Hadi sepatutnya dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

“Sebelum ini, berat anak saya meningkat kepada 3.4 kilogram (kg), namun ketika tarikh pembedahan itu beratnya turun 3.24 kg. Pada usia anak sekarang, sepatutnya berat badannya sekitar 8 kg, namun berat Muhammad Ikhsan mudah turun apabila sering diserang demam.

“Doktor tidak dapat teruskan pembedahan itu kerana ia berisiko terhadap anak saya.

“Kini, saya perlu memberi makanan tambahan yang diberikan doktor dua kali sehari untuk memastikan berat badannya naik sebelum tarikh pembedahan baru ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Siti Hafsah berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban menanggung kos rawatan anaknya.

“Baru-baru ini saya periksa akaun bank dan terkejut dengan sumbangan yang diberikan daripada individu yang saya tidak ketahui siapa mereka.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, hanya tuhan yang dapat membalasnya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang bayi lelaki yang dilahirkan tanpa telinga dan tulang belakang bengkok, memerlukan kira-kira RM30,000 bagi membiayai kos pembedahan yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

Siti Hafsah tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana bekerja sebagai peniaga barang kosmetik, manakala suami bekerja sendiri dengan pendapatan tidak seberapa.

Berita berkaitan

Tolong lah bantu bayi ini

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 1:17 PM