PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah membuat pemeriksaan kepada seorang pemandu teksi yang juga pemandu e-hailing dalam operasi, di Lapangan Terbang Sibu. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya
cnews@nstp.com


KENDERAAN e-hailing tidak lagi dibenarkan menunggu penumpang di semua lapangan terbang di Sarawak.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata, JPJ tidak menghalang pemandu kenderaan e-hailing beroperasi, namun mereka tidak dibenarkan menunggu penumpang seperti teksi.

“Jika mengambil penumpang tiada masalah. Jika mereka menunggu di lapangan terbang selalunya mereka akan parkir di garisan berkembar yang menyebabkan kesesakan kepada pengguna dan penumpang lain.”

“Jika ada dua atau tiga penerbangan yang mendarat serentak, pemandu-pemandu ini akan menyebabkan kesesakan di lapangan-lapangan terbang di negeri ini,” katanya ketika ditemui semasa operasi pemantauan e-hailing di Lapangan Terbang Sibu, semalam.

Mengenai operasi e-hailing di negeri ini, beliau berkata, JPJ sedang melakukan operasi pemantauan dan pendidikan kepada pemandu e-hailing dahulu sebelum penguatkuasaan dilaksanakan bermula dari tarikh yang akan diberikan kelak.

“Setakat ini di seluruh Sarawak dari tempoh Julai hingga November, sebanyak 195 kenderaan sudah diperiksa dengan 40 daripadanya adalah kenderaan e-hailing dari Sibu.”

“Setiap kenderaan diperiksa akan dibuat catitan untuk kegunaan masa hadapan yang mana kita akan mengesan semula kenderaan terbabit bagi melihat mereka memenuhi syarat ditetapkan atau tidak,” katanya.

Dedahnya, dalam tempoh sama sebanyak 95 kes dicatatkan untuk pemandu tiada Permit Elektronik Kenderaan (eVP), 37 kes tiada Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), dan seramai 80 kes membabitkan pemandu tidak mempamer cakera PUSPAKOM.

JPJ juga turut berjaya mengesan 103 orang pemandu e-hailing gagal melekat pelekat e-hailing.

“Saya berharap operasi pemandu e-hailing dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.”

“Kita faham proses permohonan eVP mengambil sedikit masa kerana ramai yang memohon pada ketika ini. Sebab itulah kita hanya menjalankan operasi pemantauan dahulu. Kita tidak sewenangnya asyik memberikan saman atau kompaun kerana kita tahu pemandu-pemandu ini hanya mencari rezeki untuk menyara kehidupan mereka.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 12:23 PM