PASUKAN Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan dalam Operasi Pematuhan Import Pertanian merampas kenderaan yang mengimpot 350 kilogram sayur dan buah-buahan serta 300 kilogram ikan tanpa dokumen sah bernilai RM9,000 dari Thailand ke Malaysia dipercayai untuk dipasarkan di pasaran tempatan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga. FOTO Ihsan MAQIS
Syaherah Mustafa
cnews@nstp.com


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 350 kilogram sayur dan buah-buahan serta 300 kilogram ikan tanpa dokumen sah di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Tanah Merah, kelmarin.

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, rampasan itu dilakukan menerusi Operasi Pematuhan Import Pertanian daripada Negara Jiran seawal 6 pagi.

Katanya, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap lebih 50 kenderaan awam di laluan masuk ICQS sebelum merampas barangan terbabit yang bernilai RM9,000.

Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua barang rampasan itu dibawa dari Thailand ke Malaysia dipercayai untuk dipasarkan di pasaran tempatan.

“Kesemua hasil pertanian ini dirampas kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah seperti permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS dan sijil fitosanitasi daripada negara asal.

“Tindakan mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit import sah MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Azam berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius selain tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

“MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara ini terutama di kawasan sempadan.

“Langkah ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang memasuki negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 10:15 AM