WARGA emas, Mamat Junus, 61, ditemui maut akibat dipanah petir di kebunnya di Kampung Matang, Hulu Terengganu, petang semalam. FOTO Ihsan PDRM
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bh.com.my


KERESAHAN isteri selepas suaminya yang keluar ke kebun di Kampung Matang di Kuala Berang, tidak pulang ke rumah terjawab apabila lelaki itu ditemui meninggal dunia di kebunnya akibat dipanah petir, semalam.

Mangsa, Mamat Junus, 61, ditemui tidak sedarkan diri oleh isterinya berusia 51 tahun yang ke kebun berkenaan kira-kira 5 petang untuk mencari mangsa, selepas bimbang suaminya tidak pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan 5.25 petang memaklumkan penemuan mayat mangsa di kebun berkenaan.

“Sepasukan anggota dan pegawai kemudian segera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.

“Isteri mangsa memaklumkan suaminya keluar ke kebun berhampiran rumah mereka sejak 7 pagi semalam, namun tidak pulang sehingga petang menyebabkan wanita itu bimbang.

“Dia kemudian ke kebun itu selepas solat Asar untuk mencari mangsa dan terkejut menemui suaminya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum memaklumkan kepada polis,” katanya.

Mohd Adli berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat dipanah petir.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mohd Adli turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan keadaan cuaca sekarang dan elakkan berada di kawasan terbuka seperti padang apabila berlaku petir bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 9:12 AM