DUA lelaki warga Vietnam yang menawarkan khdimat urut dan seks sejenis ditahan Jabatan Imigresen Pulau Pinang di sebuah hotel di Jalan Transfer, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


CAJ dikenakan mencecah RM150 untuk urutan selama sejam. Itu dilakukan dua lelaki warga Vietnam yang masuk ke negeri ini secara sah, namun mencari makan dengan menjalankan aktiviti urut untuk kaum sejenis.

Perbuatan mereka itu terbongkar apabila sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menyerbu hotel di Jalan Transfer, Georgetown, malam tadi.

Dalam serbuan 11 malam itu, anggota JIM yang menyerbu sebuah bilik di hotel berkenaan mendapati dua lelaki warga Vietnam terbabit sedang mengurut seorang lelaki tempatan dalam keadaan bogel.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, hasil pemeriksaan lanjut dua lelaki Vietnam berusia 29 dan 31 tahun itu mengaku mereka menjalankan aktiviti seks songsang dengan mengenakan bayaran kepada pelanggan.

“Kedua-dua mereka mengaku mengenakan bayaran RM150 untuk sejam dan mereka didapati masuk menggunakan pas lawatan sosial sah yang tamat tempoh akhir bulan ini.

“Kita dapati mereka sudah lima hari menetap di hotel ini serta mencari pelanggan dengan menggunakan media sosial,” katanya.

Muhamad Husni berkata, pihaknya juga turut merampas wang tunai berjumlah RM1,200 yang dipercayai hasil daripada khidmat urut dan aktiviti seks yang dilakukan dua lelaki Vietnam terbabit.

“Selain itu, kita turut merampas ubat perangsang dan juga kondom yang digunakan mereka ketika melakukan aktiviti songsang berkenaan.

“Kedua-dua lelaki Vietnam itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 9:00 AM