BALAK yang disimpan secara tidak sah di sebuah kilang papan di Baling. -FOTO JABATAN HUTAN KEDAH
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


PENYELIA kilang papan warga Myanmar didenda RM10,000 atau 10 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan menyimpan kayu balak secara tidak sah pada November lalu.

Tertuduh, Bo Bo Tun, 36, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mengawal hasil hutan iaitu 10 tual kayu spesies Merbau tanpa bayaran royalti, premium dan ses kepada pihak berkuasa negeri.

Kejadian dilakukan di kilang papan Wooi Guan, Batu 38, Jalan Baling pada jam 9.15 pagi, 2 November lalu.


BO Bo Tun didenda RM10,000 selepas didapati bersalah.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 84(1) Enakmen sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mason Jaro Lenya Barayan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:00 AM