FOTO hiasan
BERNAMA

PROGRAM ‘Ayo Kuliah di Malaysia’ yang mempromosikan pengajian tinggi Malaysia kini bekerjasama dengan Maybank Indonesia bagi menawarkan skim pinjaman pengajian kepada warga Indonesia berminat.

Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun berkata, Maybank Indonesia bersedia menawarkan pinjaman menarik dan dijangka 50 peratus lebih murah berbanding skim pinjaman lain di Indonesia, khas kepada pelajar Indonesia yang mahu menyambung pengajian tinggi mereka di Malaysia.

“Maybank akan mengumumkan pakej pinjaman itu pada 16 November sempena program pameran pendidikan ‘Ayo Kuliah di Malaysia’ anjuran EMI yang akan diadakan selama dua hari di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta,” katanya kepada pemberita di Jakarta.

Beliau berkata, kerjasama Maybank itu adalah satu insentif baharu bagi menggalakkan lebih ramai pelajar Indonesia melanjutkan pengajian tinggi mereka di Malaysia.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Bakar berkata, ketika ini terdapat 170,000 mahasiswa asing di Malaysia dari 160 negara seluruh dunia.

“Seramai 11,000 daripadanya adalah dari Republik Indonesia. Ini menjadikan pendidikan tinggi di Malaysia sebagai platform paparan global kepada mahasiswa dan dari segi kedudukan atau ranking dunia pula, sebanyak lima universiti awam Malaysia dan dua universiti swasta tersenarai dalam kedudukan 500 universiti terbaik dunia,” katanya.

Bersempena pameran ‘Ayo Kuliah di Malaysia’, beberapa agensi Malaysia akan turut serta antaranya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tourism Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Malaysia Airline dan Maybank bagi membolehkan pengunjung mendapatkan ​​maklumat sampingan seperti urusan visa, ​​​​​​​pakej pelancongan, promosi tiket penerbangan dan pakej ​​​​​​​pinjaman pendidikan selain penyertaan 26 universiti dari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 7:20 PM