Gambar papan tanda larangan anggota ATM melintasi kawasan resort yang tular di media sosial. Foto Ihsan Pembaca
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@hmetro.com.my


GAMBAR papan tanda melarang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kawasan resort di Pulau Layang-Layang, Labuan yang tular di media sosial disahkan gambar lama.

Sumber Pejabat Menteri Pertahanan berkata, semakan pihaknya mendapati papan tanda larangan itu adalah daripada pengurusan resort terdahulu.

Menurutnya, masalah itu sudah tidak timbul lagi dan jalinan kerjasama antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama pengurusan resort baru berkenaan adalah baik.

“ATM bersama pengurusan resort boleh bekerjasama dan saling membantu ketika ini.

“Kita harapkan masyarakat tidak sewenangnya menyebarkan maklumat tanpa usul periksa kesahihannya.

“Ia kerana perkara itu boleh menimbulkan kekeliruan selain memberi pertelingkahan di laman sosial,” katanya.

Terdahulu, tular gambar papan tanda warna merah berkenaan di media sosial yang melarang anggota ATM memasuki dan melintasi resort di pulau itu.

Papan tanda itu memaklumkan: ‘Dilarang kepada anggota ATM melintasi dan melalui kawasan resort’.

Berikutan itu, warganet memberikan pelbagai reaksi termasuk ada yang menyuruh orang ramai untuk boikot resort berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 7:08 PM