Mangsa dibantu anggota bomba dan pasukan perubatan untuk membawanya mendapatkan rawatan di hospital selepas tertusuk besi paip di Taman Bukit Melaka di Bukit Beruang, Melaka hari ini. Foto Ihsan JBPM
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


WANITA warga emas terpaksa menahan sakit lebih sejam selepas besi paip tertusuk ketiak kirinya selepas terjatuh dari pokok mangga di hadapan rumahnya di Taman Bukit Melaka di Bukit Beruang, Melaka petang hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.16 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi.

Menurutnya, tiba di lokasi didapati warga emas berusia 64 tahun dalam keadaan terduduk di bawah pokok mangga terbabit.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati dia tertusuk batang besi meter paip di hadapan rumahnya.

“Difahamkan, warga emas itu memanjat pokok mangga sebelum terkejut bunyi guruh dan terjatuh menyebabkannya tertusuk besi berkenaan,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka hari ini.

Menurutnya, anggotanya bomba kemudiannya menggunakan peralatan khas untuk memotong besi sepanjang 0.6 meter berkenaan yang dianggarkan tertusuk sedalam lima sentimeter pada ketiak kiri mangsa.

“Anggota mengambil masa kira-kira lima minit untuk memotong besi berdiameter 1.27 sentimeter sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka.

“Difahamkan, proses mengeluarkan besi terbabit dilakukan melalui pembedahan dan selesai pada 5.30 petang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 6:50 PM