GAMBAR hiasan
Asrol Awang
am@hmetro.com.my

LELAKI Syria yang ditahan bagi membantu siasatan kes memiliki senjata api palsu, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan berkata, suspek yang berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia pada 5.55 pagi, selepas dimasukkan ke hospital sejak 3 November lalu.

“Suspek ditahan pada 2 November di Jalan Beserah dan mengadu tidak sihat semasa ditahan.

“Dia kemudian dibawa ke HTAA, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan. Setakat ini, kita masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, hari ini.

Othman berkata, suspek dipercayai masuk ke negara ini sebagai penuntut institusi pengajian swasta (IPTS) di ibu negara.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 6:44 PM