CALON PH bagi PRK P.165 Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini ketika Program Ziarah di Kampung Kemang, Pontian. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“AURA Tun Mahathir bantu saya,” kata calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, 66, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Pontian, hari ini.

Beliau memberi reaksi terhadap komitmen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turun padang bermula esok bagi membantu kempen pilihan rayanya.

Menurutnya, sebagai calon, kedatangan Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi impak kepada pengundi.

“Sebagai calon, kita mengharapkan (kedatangan Tun Mahathir) kerana ia memberi impak kepada pengundi itu sendiri.

“Aura (Tun Mahathir) orang yang bukan hanya dikenali di negara kita tapi di luar negara.

“Tun dikenali ramai dan seorang negarawan,” katanya.

Menurutnya, ramai yang tidak mengetahui Tun Dr Mahathir bukan lagi Perdana Menteri dari Barisan Nasional (BN).

“Macam Tun Mahathir sebut semalam, ada sebahagian rakyat yang tidak tahu Tun Mahathir bukan lagi Perdana Menteri di bawah BN tapi di bawah PH,” katanya.

Sebelum ini Karmaine menyatakan komitmen ditunjukkan kepemimpinan tertinggi PH akan menjadi suntikan semangat buat dirinya sekali gus pastikan kemenangan PH.

Tun Mahathir mempunyai program lawatan dua hari di negeri ini bermula esok hingga Khamis.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 4 petang esok akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di hotel di sini.

Pada malam esok, Tun Mahathir dijangka menyertai Ceramah Mega Pakatan Harapan Bersama Perdana Menteri di Tapak Terminal Bas Kukup.

Keesokannya (14 November), Tun Mahathir bersarapan Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Parlimen Tanjung Piai di Warung 800 Pekan Nanas pada 8 pagi.

Ia diikuti Dialog Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Johor mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Impiana Senai, 9.45 pagi.

PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (GERAKAN), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA) serta dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock dan ahli perniagaan, Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ia diadakan susulan kematian penyandang, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 9:42 AM