KOPERAL Yahya Mohd Ariff antara anggota polis yang mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“REZEKI saya jadi pengundi pertama pagi ini,” kata Koperal Yahya Mohd Ariff, anggota pertama menunaikan tanggungjawab mengundi pos di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, pagi hari ini.

Beliau yang berkhidmat sejak 13 tahun lalu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melalui proses undi awal bagi tiga pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Tahun lalu saya mengundi di Balai Polis Permas dan tahun ini bertukar lokasi di IPD Pontian.

“Berbeza tahun lalu, kali ini saya bertuah kerana menjadi pengundi pertama dan terawal,” katanya.

Menurutnya, dia yang bertugas pada 8 malam tadi dan bekerja shif malam, terus ke pusat mengundi pada 8 pagi ini.

“Sebaik selesai mengundi, saya pulang ke rumah untuk tidur sebelum menjalankan tugas pada malam ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, seramai 280 pegawai dan anggota polis melaksanakan undi awal bagi PRK Tanjung Piai di IPD Pontian di sini, pagi ini.

Katanya, daripada jumlah itu 18 pengundi membabitkan anggota untuk kawasan DUN Pekan Nanas, 210 kawasan DUN Kukup, anggota sudah bertukar (38) dan bersara (14).

Proses pengundian berlangsung di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Pontian membabitkan DUN Pekan Nanas (Saluran 1) bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

DUN Kukup (Saluran 2) bermula pada jam 8 pagi hingga 5 petang.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 9:32 AM