PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP memeriksa dan menyita tong gas LPG tidak berlesen di Meru, Klang. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 336 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM135,900 di sebuah premis di Jalan 1, Meru, Klang, hari ini.

Ketua Seksyen Siasatan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Selangor Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan kira-kira 1 tengah hari itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan di premis itu yang dijadikan stor.

“Pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Selangor dan dibantu pegawai dari KPDNHEP Putrajaya.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis tidak berlesen, melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Barang Kawalan 1974,” katanya hari ini.

Beliau berkata, barangan yang disita adalah 100 tong gas LPG 14 kilogram (kg) dan 236 tong gas LPG 50kg serta sebuah lori tiga tan selain invois jual beli LPG.

“Stor berkenaan dipercayai baru beroperasi empat bulan lalu dan dikesan menjalankan aktiviti termasuk memindahkan gas LPG daripada tong bersubsidi ke tong industri untuk dijual mengikut harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan lelaki tempatan berusia 40an dipercayai pemilik premis untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 10:01 PM