PETUGAS SPR melakukan persiapan akhir menjelang pengundian awal, esok. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SERAMAI 280 pegawai dan anggota polis akan melakukan pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Pontian, esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, semua anggota terbabit akan mengundi di bangunan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Katanya, pengundian awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas (Saluran 1) dibuka bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

“Bagi DUN Kukup (Saluran 2), waktu pengundian ditetapkan bermula 8 pagi hingga 5 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, proses pengundian awal ini akan disaksikan ejen calon dan Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR, selain disiarkan secara live di Facebook (FB) SPR.

Azhar berkata, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis, manakala pengiraan akan dibuat di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Pontian pada 16 November.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 9:16 PM