Hairulazim Mahmud dan Siti A’isyah Sukaimi
am@hmetro.com.my


“MENTERI Besar adalah yang berkuasa di Perak bukan DAP,” tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ada pihak menganggap Pakatan Harapan (PH) dikuasai DAP sehingga memaksa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membuat penerangan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Jumaat lalu.

“Mereka agresif jadi dia (Ahmad Faizal) terangkan walaupun seorang sahaja (dari BERSATU) bukan bermakna dikuasai DAP,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU di Putrajaya, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BERSATU berkata demikian ketika ditanya sama ada MPT ada membincangkan isu Ahmad Faizal yang dikatakan terpaksa terkontang-kanting seorang diri melawan DAP.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Turut hadir Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, PH sentiasa dikuasai semua komponennya mengikut keadaan tertentu.

Kata beliau, ada kalanya ia dikuasai DAP dan kadangkala BERSATU.

“PKR juga kadang-kadang berkuasa dalam PH,” katanya.

Bagi beliau, apa yang diperkatakan Ahmad Faizal tidak menimbulkan sebarang masalah kepada parti.

“Ini dia ada di sini berani berdepan dengan wartawan,” katanya.

Mengenai PRK Tanjung Piai, Dr Mahathir mengakui akan turun padang untuk berkempen.

Mengenai keahlian BERSATU, beliau berkata, parti itu sudah memiliki lebih setengah juta ahli.

“Sabah mencatatkan jumlah keahlian paling tinggi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 9:04 PM