PONTIAN 09 NOVEMBER 2019. Mercu tanda tugu Penghujung Selatan Tanah Besar Asia di Taman Negara Tanjung Piai, Kukup, Pontian. NSTP/HANA NAZ HARUN
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Pontian, berada dalam keadaan aman dan tenteram tanpa membabitkan pelbagai insiden besar.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, beliau berpuas hati dengan kempen oleh semua parti sejak hari penamaan calon hingga hari ini.

“Sepanjang tempoh hari penamaan calon hingga hari ini, secara keseluruhannya polis amat berpuas hati dengan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Tidak ada insiden besar yang berlaku, cuma insiden terpencil berkaitan isu poster yang dicabut dan poster diterbalikkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 28 laporan polis berkaitan PRK Tanjung Piai diterima sehingga kini.

“Daripada 28 laporan itu, tiga laporan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan satu kes mengikut Sekyen 4A (1) Akta Pilihan Raya 1954.

“Satu kes membabitkan calon Barisan Nasional (BN) juga sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut laporan berhubung dakwaan sabotaj pihak tertentu ke atas bahan kempen milik calon GERAKAN, beliau berkata, kes dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

“Kita dapati kes itu tidak membabitkan jenayah,” katanya yang mengesahkan tiada tangkapan dilakukan, namun membuka beberapa kertas siasatan.

Sehingga kini, sebanyak 447 permit sudah dikeluarkan kepada parti politik membabitkan Pakatan Harapan (75), BN (264), GERAKAN (99), BERJASA (empat) dan BEBAS (lima).

Katanya, pihaknya berharap parti bertanding mengelak melakukan provokasi berikutan kempen dijangka bertambah rancak minggu ini.

“Kita berharap semua parti bertanding mengikut peraturan ditetapkan di bawah Akta Pilihan Raya 1954,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 1:28 PM