SALAHUDDIN Ayub. FOTO Aswadi Alias
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


POLIS tidak menolak kemungkinan merujuk kes membabitkan klip video didakwa berbaur perkauman oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada Pejabat Peguam Negara.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, ia bergantung kepada keterangan saksi dan siasatan mengikut Seksyen 4 A(1) Akta Pilihan Raya 1954.

“Berhubung viral (tular) membabitkan Menteri Pertanian itu (laporan klip video didakwa berbaur perkauman), kes itu masih dalam siasatan.

“Kita masih kumpulkan keterangan-keterangan daripada saksi terbabit dan InsyaAllah apabila kes itu selesai (siasatan), kita akan rujuk kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, hari ini.

Menurutnya, setakat ini polis sudah merakam percakapan serta mengambil keterangan daripada individu-individu yang berada ketika ucapan disampaikan Salahuddin.

“Kita sedang kumpul lain-lain keterangan yang ada sebelum boleh merujuk kertas siasatan terbabit kepada pihak peguam negara.

“Kita akan buat (siasatan) secepat mungkin,” katanya memberikan komitmen berhubung siasatan membabitkan laporan polis dibuat Pemuda UMNO itu.

Menurutnya, pihaknya sedar kes itu penting kerana membabitkan Menteri.

“Kita akan usaha supaya kes boleh dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi keputusan lanjut.

“Sehingga kini seramai 12 individu yang berada ketika sesi tertudup itu sudah diambil keterangan” katanya.

Sebelum ini polis tidak menolak kemungkinan memanggil Salahuddin berhubung laporan klip video didakwa berbaur perkauman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 12:49 PM