Alwi Ibrahim (tengah) memakaikan pangkat kepada pegawai penjara. FOTO Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


LEBIH 900 banduan menerima latihan dalam sektor perladangan melalui program Latihan Pintar Korporat (CSI) di antara Felcra Berhad dan Jabatan Penjara Malaysia (JPM).

Pengerusi Felcra Berhad Datuk Nageeb Wahab berkata, kolaborasi bestari itu bermula sejak November 2016 apabila menempatkan Orang Di Parol (ODP) dan Orang Di Selia (ODS) sebagai pekerja.

Beliau berkata, pihaknya turut menawarkan peluang pekerjaan kepada banduan selepas mereka tamat tempoh latihan ditetapkan.

“Bermula dengan hanya 10 orang pada 2 November 2016 kini 907 bantuan sudah menerima latihan dan ditempatkan di 38 ladang Felcra.

“Kita masih kekurangan 4,000 pekerja ladang untuk ditempatkan di seluruh negara dan diharap ia dapat dipenuhi oleh JPM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Felcra Berhad dan JPM di Ayer Keroh hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Tan Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah JPM Datuk Seri Zulkifli Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Mohd Nazrul Izam Mansor.

Nageeb berkata, melalui CSI ini pihaknya secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan pekerja asing di sektor perladangan.

“Kira- kira 85 peratus pekerja ladang adalah warga asing sebolehnya kami hendak orang tempatan.

“Apabila membabitkan pekerja asing ia timbul beberapa perkara antaranya tidak tetap malah membabitkan kos lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, Felcra kini dalam perbincangan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah penempatan untuk diusahakan oleh ODP melalui program jangka panjang.

“Melalui program ini mereka akan diambil sebagai peserta Felcra dan diberikan peluang untuk mengusahakan tanah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 1:15 AM