SHEIKH Omar Fahmi Awadallah Al-Kiswani. FOTO Luqman Hakim Zubir
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


UMAT Islam Malaysia diseru jangan berhenti menziarahi Palestin khususnya Masjidil Aqsa bagi merancakkan ekonomi rakyat negara di Timur Tengah itu yang kini dizalimi rejim Zionis Israel.

Pengarah dan Ketua Imam Masjidil Aqsa, Sheikh Omar Fahmi Awadallah Al-Kiswani berkata, ziarah umat Islam ke negara yang cuba dirampas oleh rejim Zionis Israel akan membantu rakyat Palestin supaya tidak terus dizalimi.

“Saya mengajak rakyat Malaysia supaya jangan berhenti menziarahi negara kami kerana dengan cara ini akan membantu ekonomi rakyat Palestin.

“Rakyat Palestin juga tidak akan berasa bersendirian dengan adanya pelancong selain mengelakkan tentera Zionis melakukan kekejaman kerana ramai saksi orang asing berada di sekitar Masjidil Aqsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Munaqasyah MyAQSA: Ketahui Fakta Sebenar Masjidil Aqsa dan Masjid Nabi Ibrahim, di Putrajaya, hari ini

Panel lain ialah Imam dan Khatib Masjid Nabi Ibrahim di Hebron, Sheikh Atta Muhammad Faiz Atta Al-Muhtasib.

Turut hadir Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dan Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Tan Sri Ismail Omar.

Sementara itu, Sheikh Atta berkata, walaupun terdapat fatwa yang mengharamkan melancong ke Masjidil Aqsa sebelum ini tetapi ia adalah hukum lama yang tidak terpakai lagi.

Katanya, ulama kini membenarkan umat Islam menziarahi Palestin kerana demi kepentingan umat Islam di sana.

“Keutamaannya sekarang ialah terus membantu rakyat Palestin sebagai tanda sokongan kepada kami dan bukan tanda sokongan program normalisasi rejim Yahudi.

“Ziarah anda akan memberi impak besar kepada rakyat Palestin,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Kedutaan untuk Palestin: Negara lain contohi Malaysia [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:14 PM