MADYASIR Ahmad Basir, 24, berkongsi video tular ketika berkempen dalam Bahasa Mandarin di Pasar Malam Kukup, Khamis lalu. FOTO NSTP
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“MEREKA (pengundi Cina) terkejut dan seronok,” kata Ketua Penerangan UMNO Pasir Gudang, Madyasir Ahmad Basir, 24, berhubung kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dalam bahasa Cina.

Katanya, video terbabit dirakamkan ketika dia berkempen di ‘sudut pembesar suara’ di pasar malam Kukup, pada 5 petang, Khamis lalu.

“Petang itu, kami jentera BN dan PH berlawan kempen dan saya jadi perantara memperkenalkan moderator pada sesi itu.

“Kebetulan keadaan sekeliling ramai pengundi Cina dan ketika itulah peluang kami menarik perhatian mereka,” katanya di temui bersarapan di Pekan Nanas di Pontian, hari ini.

Katanya, meskipun dalam tempoh singkat, namun elemen ‘suprise’ bagi menarik perhatian pengunjung pasar malam dianggap berjaya.

“Mungkin inilah kelebihan saya yang pandai berbahasa Mandarin dan bersekolah di sekolah aliran Cina.

“Sebaik saya turun, ramai bangsa Tionghua memuji saya kerana menganggap saya hebat, malah gaya bahasa pun baik berbanding bangsa mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, kempen dilaksanakan bagi menggalakkan pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab pada hari pengundian PRK Tanjung Piai, 16 November ini.

“Saya juga menyuntik elemen Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mungkin dilaksanakan kembali berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini,” katanya.

Menurutnya, dia bersama keluarga sering berkomunikasi dalam bahasa Mandarin di rumah.

“Kami empat beradik bersekolah di tadika Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJCK) dan sebab itulah fasih berbahasa Mandarin,” katanya.

Terdahulu gelagat kempen Aktivis Anak Muda Johor (MUDA) di lokasi sebuah pasar malam di Kukup mendapat perhatian netizen.

Ia dikongsi menerusi tajuk : ‘Pemuda Melayu ceramah dalam bahasa Cina untuk kempen PRK Tanjung Piai.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 12:44 PM