CALON PH bagi PRK P.165 Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini bertemu media selepas menghadiri majlis Sambutan Maulidur Rasul di Pekan Nenas, Pontian, semalam. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“KEMPEN pembangkang beri pahala pada saya,” kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Tanjung Piai, Karmaine Sardini, berhubung ‘troll’ terkini di media sosial membabitkan dirinya.

Reaksi itu diberikan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, selepas dirinya terpalit dengan kempen kurang bermoral susulan kontroversi Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Abdul Rahman secara tidak sengaja menyebut perkataan arwah kepadanya.

Berikutan itu, satu ‘troll’ terbaharu membabitkan dirinya dikongsi menggunakan paparan muka depan sebuah majalah kisah seram sebagai ‘arwah bekas imam’.

Pemerhatian mendapati, wajah sebenar pada majalah itu diubahsuai dan diletak muka Karmaine dalam keadaan tidak berbaju dengan tajuk utama, ‘Arwah Bekas Imam Berkeliaran Menagih Undi’.

Mengulas lanjut katanya, dia tidak tahu kempen dijalankan pihak terbabit.

“Saya pun tidak tahu kenapa mereka (pembangkang) kempen macam itu,” katanya ketika mengadakan lawatan di Bilik Gerakan PDM Kampung Duku di Pontian, hari ini.

Menurutnya, dia tidak merasakan ada unsur kempen sabotaj, namun jika ada, menunjukkan penerimaan orang (pengundi) semakin meningkat.

“Saya masih meneruskan kempen dari rumah ke rumah dan dekatkan diri supaya pengundi kenal siapa saya.

“Kawasan hitam pun sudah boleh masuk, dulu PH susah nak masuk dan itu isyarat baik dan perubahan positif,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi kira-kira 15 saat dikongsi netizen membabitkan Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq dalam program ceramah secara tidak sengaja menyebut perkataan arwah kepada Karmaine di PDM Kampung Sawah, Pekan Nanas.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 11:24 AM