PENDUDUK Kampung Kukup Laut, Wei Chin Fei, 34, bersama anaknya menaiki motosikal roda tiga melintasi jalan yang dipenuhi bendera parti Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai. FOTO Bernama
BERNAMA

KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai telah memasuki hari kesembilan, hari ini dan ketika ini parti dan calon bertanding sepatutnya sudah dapat membaca kedudukan mereka di mata penduduk dan pengundi di Tanjung Piai.

Walaupun PRK kali ini melibatkan pertandingan enam penjuru, tetapi saingan sebenar merupakan ‘two-horse race’ antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan yang menariknya, menampilkan calon yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

PH dan BN masing-masing mempunyai agenda tersendiri, dengan PH mahu menggunakan ‘pertempuran’ kali ini untuk melihat sejauh mana rakyat masih bersama dengan gabungan itu selepas lebih setahun menjadi kerajaan susulan kemenangan pada PRU14.

BN, yang turut mendapat sokongan PAS, pula sudah tentu mahu memanfaatkan pentas ini untuk bereksperimentasi dengan konsep Muafakat Nasional yang dimeterai antara UMNO dan PAS yang secara tidak langsung melibatkan BN, bagi meraih sokongan segenap lapisan pengundi khususnya masyarakat Melayu, yang merupakan kira-kira 57 peratus pengundi di Parlimen Tanjung Piai.

Hakikatnya kedua-dua parti meletakkan wakil yang dianggap calon ‘kitar semula’ yang mungkin tidak begitu dilihat oleh pengundi, namun masing-masing pasti mempunyai kekuatan tersendiri untuk pucuk pimpinan parti terus menaruh harapan terhadap mereka.

Di pihak BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, adalah Ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal pada 2008 hingga 2018 sebelum tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Farid Md Rafik pada PRU14 dengan majoriti tipis 524 undi.

Calon PH Karmaine Sardini, 66, pula bertanding di kawasan Parlimen bersebelahan iaitu Pontian namun tewas kepada calon BN Datuk Seri Ahmad Maslan, juga dengan majoriti tipis 833 undi.

Wee mungkin lebih dikenali kerana pernah dua penggal menjadi Ahli Parlimen kawasan itu selain sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008, tetapi Karmaine, walaupun belum dikenali sepenuhnya penduduk setempat, beliau antara pengasas Bersatu Tanjung Piai dan menjadi Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai serta membantu kemenangan PH tahun lalu.

Beliau juga mempunyai sokongan daripada parti pemerintah di peringkat kerajaan negeri Johor dan Persekutuan untuk mampu memainkan lebih peranan dalam membawa pembangunan ke Tanjung Piai.

Bagi Wee, beliau kembali bertanding walaupun tewas tahun lepas kerana mempunyai hubungan baik dengan penduduk dan pengundi di kawasan Tanjung Piai dan mahu terus berbakti di Tanjung Piai.

Karmaine pula mahu menggunakan tempoh berkempen untuk mendekati sebanyak mungkin pengundi kerana berpendapat ramai yang hanya mengenali namanya sahaja tetapi belum pernah melihat dan mengenali keperibadian beliau dari dekat.

“Saya bertanding kali ini sebab saya calon anak tempatan. Saya orang kampung (di sekitar kawasan Parlimen Tanjung Piai) sini. Ini adalah kampung saya dan fokus utama saya lebih kepada untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi seluruh penduduk di Tanjung Piai,” kata Karmaine.

Bagi penganalisis politik Dr Md Akbal Abdullah, kekuatan PH adalah kerana mereka adalah kerajaan dan kehadiran pemimpin-pemimpin PH yang memegang jawatan dalam kerajaan memberikan peluang kepada rakyat untuk terus menyuarakan masalah mereka dan pihak kerajaan pula patut mengambil peluang mendengar secara terus masalah rakyat.

“Sebenarnya dalam faktor ini, PH sudah mempunyai kekuatan asas kerana mereka adalah kerajaan dan boleh menjanjikan pembangunan, tidak seperti pembangkang (BN) kerana mereka bukan kerajaan lagi,” katanya.

Namun, katanya, BN datang ke Tanjung Piai kali ini membawa semangat tiga kemenangan PRK sebelum ini iaitu Parlimen Cameron Highlands serta DUN Semenyih dan Rantau.

“Tanjung Piai juga menjadi lokasi pertama untuk menonjolkan penyatuan ummah (melibatkan kerjasama PAS dan UMNO) kerana babitkan calon bukan muslim (daripada MCA), jadi semangatnya lebih berbeza berbanding PRK lain,” katanya.

Md Akbal juga berkata, mana-mana parti juga tidak boleh terlalu selesa dengan undi kaum Cina yang pernah diterima sebelum ini kerana undi mereka adalah di luar jangkaan.

PH dan BN juga tidak seharusnya memandang mudah penyertaan parti Gerakan dan Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon Bebas yang mampu memecahkan undi.

“Sejauh mana bilangan pecah itu, kita (PH) tidak pasti, tidak tahu tetapi memang ada cabaran walaupun (calon-calon lain) tidak mendatangkan kesan yang nyata berbanding Wee (calon BN),” kata Karmaine.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Hari mengundi ditetapkan pada 16 November manakala undi awal pada 12 November.

Selain PH dan BN, PRK kali ini turut melibatkan Gerakan yang diwakili Wendy Subramaniam, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 11:21 AM