Seramai 28 warga China termasuk tiga wanita ditahan dalam serbuan di sebuah banglo mewah yang dijadikan pusat operasi perjudian dalam talian (JOL) dalam serbuan di Jalan Kasawari, di sini, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


SERAMAI 28 warga China termasuk tiga wanita ditahan dalam serbuan di sebuah banglo mewah yang dijadikan pusat operasi perjudian dalam talian (JOL) di Jalan Kasawari, Ampang hari ini.

Serbuan pada 1.40 tengah hari itu dilakukan Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor diketuai Asisten Superintendan Mohd Zulaimi Zubir.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, ketika serbuan semua individu itu leka menjalankan urus niaga judi dalam talian menggunakan telefon bimbit dan komputer riba.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan di banglo itu menahan 25 lelaki dan tiga wanita warga China berusia 20 hingga 44 tahun bekerja sebagai pengendali urus niaga judi dalam talian di pusat judi itu,” katanya.

Azmi berkata, hasil pemeriksaan terhadap komputer riba dan telefon bimbit dirampas menemui pelbagai aplikasi dan laman sesawang judi dalam talian yang dianjurkan sindiket itu.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai aktif melakukan kegiatan penganjuran judi dalam talian sejak dua bulan lalu dengan menjadikan kediaman mewah sebagai pusat operasi.

“Pemeriksaan mendapati, semua suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan diri atau pas lawatan sosial,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 25 komputer riba, 28 telefon pintar pelbagai jenama dan satu modem pelayaran Internet.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(G) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 12:48 AM