flightradar24.com menunjukkan pesawat MH360 dari KLIA ke Beijing berpusing beberapa kali di ruang udara Selat Melaka sebelum kembali ke KLIA. FOTO Ihsan flightradar24.com
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


PESAWAT penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH360 yang berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing terpaksa berpatah balik ke KLIA hari ini.

Semakan menerusi web flightradar24.com 8 malam tadi mendapati pesawat itu berlegar di ruang udara Selat Melaka sebelum kembali semula ke KLIA.

Bahagian Khidmat Pelanggan MAB ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun tidak pasti punca ia patah balik ke KLIA.

“Pesawat MH360 melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur 6 petang tadi dan sepatutnya tiba di Beijing 12.20 tengah malam.

“Namun tidak lama kemudian pesawat itu kembali semula ke KLIA dan tidak pasti punca kerana kami belum memperolehi maklumat lanjut.

“Penerbangan ke Beijing dijangka berlepas 12.30 tengah malam ini dari Kuala Lumpur dan tiba di Beijing 6.30 pagi esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 11:34 PM