Antara peserta yang hadir dalam persidangan antarabangsa Vape hari ini. FOTO Rosela Ismail
Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my


PENGGUNAAN vape atau rokok elektronik diyakini mampu menghentikan perokok tegar daripada terus merokok.

Perkara itu didedahkan Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh ketika persidangan antarabangsa bertajuk Vaping daripada Perspektif Global yang berlangsung di MIECC, Kuala Lumpur hari ini.

Antara ahli panel lain yang turut berucap adalah Pensyarah Universiti Patras (Greece) Dr Konstantinos Poulas dan Dr Arifandi Sanjaya dari Indonesia.

Menurut Sharifa, senario semasa menunjukkan jumlah perokok di Malaysia makin berkurangan namun tiada kajian khusus dilakukan bagi mengenalpasti puncanya.

“Bagi saya, vape ada potensi untuk hentikan golongan perokok. Namun, perlu ada undang-undang ketat. Benar (Malaysia), ada peraturan tapi tidak ketat.

“Cadang usia 20 tahun ke atas baru boleh beli vape. Ini penting bagi mengelakkan remaja atau pelajar sekolah membeli vape,” katanya.

Katanya, pakar perubatan bimbang penjualan vape tanpa kawalan akan menyebabkan bukan perokok terutamanya remaja mula merokok.

“Jika vape dijadikan medium atau alternatif bagi perokok untuk berhenti merokok, saya yakin dan nampak potensinya namun perlukan kawalan,” katanya.

Sementara itu, Konstantinos berkata, jumlah perokok di negara Eropah juga menunjukkan penurunan ketara.

“Antara 32 hingga 34 peratus perokok bertukar kepada vape di eropah. Malaysia perlu menerima peralihan berkenaan dengan sediakan peraturan seperti dipraktikkan negara maju lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif NCIG (M) Sdn Bhd Shariffuddin Bujang berkata, dia menggesa kerajaan supaya memperkenalkan peraturan terhadap kandungan nikotin dalam rokok elektronik.

“Selagi regulasi atau peraturan ini tidak diperkenalkan, misi utama NCIG bagi membantu lapan juta perokok berhenti merokok sukar,” katanya pada sidang media selepas melancarkan produk NCIG2.

Katanya, sejak dilancarkan NCIG berjaya menghentikan 170,000 perokok tegar.

Pada sidang media itu, Shariffuddin juga mengumumkan NCIG bakal menghentikan operasinya di Malaysia dan keputusan itu bakal menjejaskan lebih 700 pekerja syarikatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 9:10 PM