Anwar menyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 800 ahli PKR Negeri Sembilan pada Konvensyen PKR Negeri Sembilan hari ini. FOTO Bernama
Azzman Abdul Jamal
am@hmetro.com.my


DATUK Seri Anwar Ibrahim mengakui Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai jika rakyat membuat keputusan mengundi dengan hanya menilai prestasi semasa PH mentadbir kerajaan selama lebih setahun setengah.

Bagaimanapun, Presiden PKR itu berkata, sokongan terhadap PH akan kukuh jika rakyat memahami kesukaran gabungan parti itu mengemudi kerajaan pada masa ini selepas mewarisi pentadbiran dari pimpinan sebelum ini.

“Kita akui memang ada cabaran, sebab orang ukur kita bukan berbanding dengan yang lama (kerajaan terdahulu), kalau dibandingkan dengan lama kita akan menang tetapi mereka (rakyat) ukur kita selepas satu tahun setengah perintah.

“Sebab itu tugas kita (jentera PH) dalam kempen (PRK Tanjung Piai) adalah menjelaskan kepada rakyat pertamanya apa yang diwarisi dan apa langkah yang diambil. Kadang-kadang maklumat itu mungkin tak sampai.

“Saya yakin Insyaallah jika mereka dapat memahami betapa sukarnya kita mengendali dan mengemudi pentadbiran sekarang, mereka akan beri sokongan,” katanya ditemui pada Konvensyen PKR Negeri Sembilan di Jempol hari ini.

Hadir sama Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada BERSATU di Hospital Pontian 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, calon PH, Karmaine Sardini berdepan pertandingan enam penjuru iaitu calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon Gerakan, Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Hari pengundian pada 16 November ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 7:57 PM