Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menyertai lebih 2,000 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India Muslim berarak sempena sambutan Maulidur Rasul di ibu negara hari ini.

Program anjuran Kelab Belia Muslim Malaysia (MMYC) dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) itu turut disertai Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail bersama pimpinan NGO serta orang ramai di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur.

Khalid berkata, program itu adalah ruang umat Islam menunjukkan kesatuan dan rasa cinta terhadap Rasulullah SAW.

“Walaupun ia anjuran NGO, inilah yang kita katakan Rahmatan Lil Alamin. Ia berpaksikan kasih sayang dan hormat menghormati.

“Umat Islam hari ini bersatu hati menunjukkan rasa sayang kepada Nabi Muhammad SAW, kita berselawat ke atas baginda,” katanya.

Turut hadir Presiden PRESMA Datuk Jawahar Ali Taib Khan.

Sementara itu Jawahar Ali berkata, program yang masuk tahun kelapan itu bertujuan menyemarak rasa cinta kepada Rasulullah SAW.

“MMYC mengambil inisiatif ini dan kita sokong kerana ia adalah pengisian yang baik, kita dapat bersama-sama berselawat tanpa ada gangguan dan ia berjalan lancar.

“Insya-Allah kita akan teruskan pada masa depan.,” katanya.

Kehadiran Khalid pada program itu mencuri tumpuan orang ramai terutama di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman yang merakamkan gambar bersama Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 6:58 PM
KHALID (tengah) menyertai perarakan Maulidur Rasul di Masjid India hari ini. FOTO Mustaffa Kamal