Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) SK Ketereh, Siti Khadijah Yaakob (kiri) bersama ibubapa peserta khatan, Azman dan Norma Awang (kanan) memujuk anaknya, Mohamad Qaisy Danish. FOTO Zaman Huri Isa
Hazira Ahmad Zaidi

“ANAK saya tiba-tiba menjadi takutselepas mendengar tangisan dan jeritan kanak-kanak lain yang sedang berkhatan,” kata Azman Mat Zin,45, bapa kepada Mohd Qaisy Danish Azman, 10.

Mohd Qaisy adalah antara 135 peserta yang menyertai Program Berkhatan Perdana Siri 1/2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh di Kota Bharu, hari ini.

Azman berkata, sejak minggu lalu, anak kedua daripada empat beradik itu dilihat tidak sabar apabila sering bertanya berkenaan program itu.

“Ketika kami sampai, dia kelihatan begitu bersemangat dan tidak sabar menunggu giliran untuk dikhatankan, namun sebaik sahaja masuk ke bilik rawatan dan diminta berbaring di atas katil dia terus menangis.

“Dia merayu tidak mahu dikhatankan kerana takut. Kasihan melihat keadaannya yang tidak berhenti menangis, saya membawanya pulang.

“Saya akan membawanya (berkhatan) pada tahun hadapan dan berharap dia akan lebih bersedia,” katanya.

ZAFRI (dua kanan) dan Mhd Nor (tiga kiri) bersama Mohamad Amin Mohd Ros, 10, (kanan) dan Mohamad Hakim Hakimui Mohd Irwan, 10, yang menyertai Program Khatan Perdana Siri 1/2019. FOTO Zaman Huri Isa

Program dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim.

Hadir sama, Yang Dipertua Pertubuhan Anak Yatim Miskin Kelantan (PAYATIM) Mhd Nor Jusoh.

Sementara itu, Mhd Nor berkata, program berkhatan itu adalah penganjuran tahun ketiga membabitkan 550 murid daripada golongan miskin dan anak yatim di sekitar Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok.

“Bagi siri pertama, kita adakan pada hari ini di SK Ketereh sebeluk disusuli di SK Perempuan Pasir Puteh pada 16 November, kemudian SK Kandis, Bachok pada 23 November dan siri terakhir di SK Chabang Empat, Tumpat pada 30 November ini.

“Program ini juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Etiqa Family Takaful Berhad bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 2:29 PM