LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


PERIKSA terlebih dahulu latar belakang pusat tahfiz sebelum membuat keputusan menghantar anak masing-masing, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ibu bapa juga perlu memastikan pusat tahfiz yang dipilih itu berdaftar dan terjamin dari segi keselamatan.

Selain itu katanya, ia bagi mengelak insiden pelajar lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai akibat dipukul di sebuah maahad tahfiz di Lanchang, Temerloh, kelmarin, berulang.

“Kita mahu mengetatkan peraturan dan undang-undang supaya insiden sama tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, pihaknya akan berbincang dengan kementerian berkaitan bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan pusat tahfiz di seluruh negara.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari Khamis lalu, mangsa, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang.

Hasil pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan menemui beberapa kesan lebam di badannya dipercayai akibat dipukul.

Susulan itu, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP hari ini mengarahkan pusat berkenaan ditutup serta-merta hari ini, selepas ia didapati tidak berdaftar.

Berita berkaitan

Warden terkejut ada lebam

Pusat tahfiz diarah tutup

Pelajar tahfiz maut dipukul [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 1:32 PM